Remaja maut, rakan cedera dalam kemalangan jalan raya

Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan motosikal.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, 4 Jan: Seorang remaja lelaki maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM30 Jalan Sri Aman-Lingga, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Patrick Erik Nipak, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, mangsa dan rakannya dikatakan menunggang motosikal dari arah Sri Aman menuju ke Lingga.

Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan merempuh belakang sebuah Toyota Hilux, katanya.

“Akibat daripada kejadian tersebut, penunggang motorikal maut di tempat kejadian, manakala pembonceng mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Alexson menambah, setakat ini, tiada saksi kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily