Daun ganja kering antara dadah dirampas dalam serbuan polis di pusat hiburan Miri

Antara dadah yang dirampas.

MIRI, 18 Jan: Berbagai jenis dadah bernilai RM20,034.70 dirampas dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan tiga tingkat di Miri malam Selasa.

Dalam serbuan jam 9.45 malam itu, police turut menahan 11 lelaki tempatan dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil serbuan tersebut telah menjumpai dan merampas 18 biji pil disyaki dadah Erimin 5 seberat 5.10 gram, satu paket plastik lutsinar berisi 15 batang rokok berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 16.70 gram, satu bekas plastik bulat berpenutup bulat berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 44.80 gram dan satu bekas plastik bulat berpenutup merah didalamnya berisi serbuk campuran disyaki dadah jenis ekstasi seberat 362.00 gram,” kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu keterangan medianya hari ini.


Kesemua suspek kini sedang ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali. — DayakDaily