Kastam rampas dadah bernilai RM1.5 juta di Matang

Norizan (tengah) bersama Pegawai Kanan JKDM Sarawak menunjukkan dadah yang dirampas.
Advertisement

KUCHING, 18 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 46 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.5 juta pada 6 Mac lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata dadah tersebut dirampas dalam satu serbuan oleh Cawangan Narkotik, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) bersama Cawangan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke atas sebuah rumah di Matang.

Katanya, dalam serbuan tersebut, pasukan operasi telah menemui bungkusan teh bertulis ‘Guan Yin Wang’ yang disembunyikan dalam longgokan pakaian terpakai di bahagian ruang tamu rumah tersebut.

Advertisement

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan teh tersebut mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 46 kilogram.

“Berdasarkan jumlah berat dadah tersebut, dipercayai seramai lebih 450,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak hari ini.

Tambahnya, dadah tersebut disyaki dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia menggunakan pengangkutan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terdapat seorang lelaki tempatan berusia lewat 20-an turut ditangkap dalam operasi tersebut.

Berdasarkan siasatan awal, dipercayai sindiket telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Susulan itu, JKDM Sarawak kini juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan dadah.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily

Advertisement