Kastam Bintulu patahkan cubaan membeli senjata merbahaya melalui kurier

Senjata yang dirampas daripada suspek.

BINTULU, 24 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Bintulu menangkap seorang lelaki kerana disyaki mengimport senjata dari luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tanpa permit yang sah.

Memangku Tugas-Tugas Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata suspek, 56 tahun, ditangkap ketika datang menuntut bungkusan yang disyaki mengandungi perkakasan peralatan senjata yang dihantar dari luar negara.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah dijalankan ke atas sebuah rumah di Jalan Sibiew, Bintulu iaitu sekitar jam 10.20 pagi pada 10 Mac.


“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut telah membawa kepada penemuan dipercayai peralatan senjata, dua unit Hatsan Airtact Synthetic Stock, satu unit BSA Contender Riflescope Hunting Optics Sight, satu unit Airsoft High Pressure Indicator Ds Tm dan satu set Scope Extend Mount (ohhunt).

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM5,125.43,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat,” katanya. — DayakDaily