Karya sejarah dan perjuangan masa lalu mampu raih pulangan besar buat industri filem negara

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (file photo)

PUTRAJAYA, 17 Julai: Industri filem negara perlu beri tumpuan kepada kisah sejarah serta perjuangan masa lalu dan masa kini bagi memastikan industri berkembang dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia dapat membantu mempertingkatkan nilai dan kepelbagaian dalam seni, pelakon dan aktiviti lain berkaitan dengannya.

Katanya, syarikat-syarikat produksi, pihak berkepentingan dan pemain industri perlu bantuan dan sokongan untuk terus berkembang.


Menurut beliau, FINAS boleh mengenalpasti sejarah kritikal dan perjuangan pejuang masa lalu yang boleh diangkat sebagai bahan untuk dijadikan filem.

“Ia berupaya mencerminkan keadaan sebenar masyarakat dan warganegara Malaysia dari sudut sejarah, perjuangan, sama ada pada zaman pentadbiran sendiri, penjajah dan komunis.

“Apabila semua maklumat sudah dikumpul, ia boleh dijadikan bahan untuk difilemkan sekali gus mendatangkan keuntungan besar seperti mana filem Mat Kilau, yang mencecah kutipan pecah panggung sebanyak RM80 juta.

“Menerusi kejayaan filem Mat Kilau, kita dapat lihat karya berteraskan sejarah dan perjuangan mampu mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan FINAS Profesor Dr Md Nasir Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Junaidi turut menekankan aspek prasarana, bantuan kerajaan dan perbankan yang boleh disalurkan kepada penggiat industri filem.

FINAS digesa memberi maklumat secara terperinci keperluan industri perfileman, sama ada pembangunan dalam negara mahu pun menarik pelaburan luar negara.

Tambah beliau, sektor kewangan perlu mencontohi Amerika Syarikat yang mendorong kepada perkembangan Hollywood kerana menyediakan sumber kewangan pelbagai seperti ‘seed capital’, ‘venture capital’ dan pelbagai lagi sumber kewangan.

“Ini sekali gus memudahkan pembikin filem mendapatkan modal untuk berkarya sedangkan pembikin filem di Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan sahaja.

“Pihak korporat tempatan patut bangkit membantu industri ini selain daripada bisnes tradisional usahawan-usahawan besar sedia ada.

“Saya menyeru pihak korporat untuk sama-sama membangunkan dan menyumbang bagi mengembangkan industri seni tanah air,” ujar beliau.

Wan Junaidi juga berharap supaya Kerajaan mempelbagaikan bantuan merangkumi pembinaan prasarana dan skim percukaian yang menarik kepada pemain industri.

“Kerajaan wajar memikirkan pengecualian cukai kepada pihak luar bagi menarik lebih banyak produksi antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran utama dan pelaburan prasarana,” katanya. — DayakDaily