Karnival Kepenggunaan Kapit dari 15 hingga 18 Sept diadakan dengan jayanya

Emylyatasha mempamerkan produk kraf tangan ‘kain buri’ di tapak jualan.

Oleh Chris Bishop

Kapit, 19 Sept: Karnival Kepenggunaan-Beli Barangan Malaysia Peringkat Daerah Kapit Tahun 2020 yang berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 September telah diadakan dengan jayanya.

Dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kapit, karnival tersebut memberi peluang kepada peniaga dan usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing.


Kanak-kanak tadika mengambil bahagian di dalam pertandingan mewarna.

Sebanyak 20 gerai usahawan tempatan dibuka sepanjang karnival yang menjual makanan, produk tempatan dan kraf tangan telah mendapat sambutan hangat daripada penduduk Kapit.

Usahawan muda, Emylyatasha Jeffery Aba ketika ditemui berkata karnival membantu mempromosikan produk hasil kraf tangan Iban ‘kain buri’ kepada masyarakat luar.

Katanya, di sepanjang empat hari karnival, ramai pengunjung khususnya yang datang dari luar Sarawak ingin mengetahui produk yang dijual beliau bersama ibunya.

Nanta (dua dari kanan) melawat tapak karnival di Fort Sylvia pada hari
ketiga penganjuran.

“Ini satu cara yang sangat baik untuk kita mempromosikan produk atau hasil kraf tangan tempatan.

“Karnival telah memberi peluang kepada usahawan tempatan di Kapit untuk mengambil bahagian selain memperolehi maklumat penting berhubung kepenggunaan,” katanya.

Tambah Emylyatasha, 20, pihak penganjur telah berjaya menarik penduduk di sekitar Kapit datang ke karnival yang menyajikan pelbagai acara termasuk ceramah, pertandingan dan hiburan.

Nanta (dua dari kiri) melawat salah satu booth yang menjual produk hasil kraf tangan pada karnival.

Di sepanjang empat hari berlangsungnya karnival, turut diadakan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit pada 16 September yang telah dirasmikan MP Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Antara agensi-agensi kerajaan yang turut mengambil bahagian adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pejabat Daerah Kapit.

Tiffany Sembar Anthon (duduk) dinobat sebagai Ratu Kepenggunaan Kapit 2020.

Majlis penutupan rasmi Karnival Kepenggunaan Peringkat Daerah Kapit 2020 telah disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan.

Sebahagian daripada persembahan kebudayaan yang dipamerkan kepada pengunjung sepanjang karnival.

Malam penutupan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Ratu Kepenggunaan Kapit.-DayakDaily.