Karbon sepatutnya dibawah Kementerian Komoditi — Abang Johari

Abang Johari ketika ditemui di Gedong hari ini.
Advertisement

GEDONG, 30 April: Kerajaan Sarawak berpandangan bahawa karbon sepatutnya di bawah Kementerian Perladangan Dan Komoditi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, karbon adalah merupakan komoditi dan bukannya tenaga.

“Seperti mana saya katakan dahulu bahawa karbon adalah komoditi yang diniaga.

Advertisement

“Sebab itu Malaysia mempunyai pasaran besar komoditi karbon dibawah Bursa Malaysia.

“Bermakna di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memang karbon adalah satu komoditi, oleh sebab itu saya cadangkan ia dibawah Kementerian Komoditi (Dato Sri Fadillah Yusof),” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong hari ini.

Tambah beliau, sekarang ada mesyuarat di peringkat Persekutuan bagi menentukan kedudukan karbon yang kini dibawah Kementerian Tenaga.

Katanya, ia terpulang kepada Kabinet Kerajaan pusat samada mereka bersetuju bahawa karbon dibawah Kementerian Komoditi.

“Pada hekmah saya, pandangan kerajaan Negeri ialah karbon sepatutnya dibawah Kementerian Komoditi kerana ia adalah komoditi, bukan tenaga.

“Tenaga adalah hidro karbon seperti minyak dan gas.

“Yang ini adalah karbon dan Bursa Malaysia ada kaunter untuk perniagaan karbon bermakna ia adalah komoditi,” jelas Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement