Boutique Airlines sedia tambang murah — Abang Johari

Abang Johari hadir ke Rahmah Tamah Aidilfitri di Dewan Patinggi Ali di Gedong.

GEDONG, 30 April: Syarikat penerbangan milik Sarawak ‘Boutique Airlines’ akan menyediakan tambang rendah kepada rakyat negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun berkata, ia juga akan memasarkan hasil tani pekebun-pekebun ke pasaran di rantau Asia Tenggara.

“Perdana Menteri Anwar sudah meluluskan cadangan kita menubuhkan syarikat penerbangan.


“Perinciannya berhubung model perniagaannya akan saya umumkan nanti kerana cara kita lain daripada yang lain.

“Kita ada cara sendiri dan ini akan memberikan tambang rendah daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong hari ini.

Menurut beliau lagi, model perniagaan bagi syarikat penerbangan milik negeri itu akan diumumkan di masa yang sesuai.

Katanya, pengumuman model berkenaan juga mengambil kira perkara berkaitan kelulusan lesen.

“Penerbangan ini juga akan membawa kargo (hasil tani) untuk pasaran.

“Apa yang kita hasil dapat kita pasarkan ke negara dalam lingkungan 6 jam penerbangan yang meliputi Asia Tenggara, seperti India dan China,” ujar Abang Johari. — DayakDaily