Kapit bakal dihubungkan dengan jalan raya menjelang 2021 — Masing

Tan Sri Dr James Masing

KUCHING, April 10: Kapit dijangka dapat dilawati dengan kenderaan dalam tempoh tiga tahun lagi, sebaik sahaja jalan dari Kanowit ke Song siap sepenuhnya.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata projek berkenaan kini sedang giat dijalankan dan apabila siap menjelang 2021, ia akan dapat menghubungkan Kapit dengan bahagian-bahagian lain di negeri ini.

“Selepas siapnya jalan raya ini, Kapit tidak lagi menjadi sebuah ‘pulau’ di Borneo kerana ia sudah dapat dihubungkan dengan kenderaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 20 penerima di pejabatnya, Wisma Baitulmakmur di sini.

Selain itu, Masing berkata jalan sejauh 45 kilometer dari Song ke Kapit termasuk pembinaan sebuah jambatan baharu bernilai RM50 juta juga sedang giat dijalankan dan dijangka siap menjelang Julai ini.

Beliau berkata apabila siapnya projek jalan raya tersebut, ia akan mengurangkan kebergantungan ke atas pengangkutan sungai termasuk bot ekspres.

“Apabila jalan-jalan ini siap nanti, anda boleh memandu ke Kapit untuk melawat di sana,” katanya.

Justeru, Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas komitmennya untuk membina jalan yang menghubungkan Kapit-Song-Kanowit-Sibu sepanjang 102 kilometer itu, dengan kos sebanyak RM800 juta.

“Oleh itu, tiada sebab untuk rakyat Kapit tidak mengundi Najib kerana beliaulah yang telah membantu menghubungkan Kapit dengan jalan raya,” katanya. — DayakDaily