Kapal tangki ditahan, lesen tamat tempoh di Miri

Kru kapal yang ditahan dalam operasi tersebut.

MIRI, 16 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal tangki di 16 batu nautika dari barat laut Tanjung Payung, tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata bot tersebut dilihat mencurigakan dan kemudian ditahan untuk pemeriksaan sekitar jam 10.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh dua kru lelaki warga Indonesia dan seorang kru lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 36 tahun.


“Kesemua kru tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa dan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) kapal tersebut telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kapal tersebut bersama tiga kru kemudiannya ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60.

“Kapal seterusnya diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544. — DayakDaily