Kapal ‘landing craft’ karam, seorang lelaki hilang

Kelihatan kapal jenis 'landing craft' yang karam di Sungai Kuala Pandan.

BINTULU, April 21: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas kapal jenis ‘landing craft’ yang membawa empat buah lori muatan sawit karam di Sungai Kuala Pandan di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Mohd Dzulhiqmi Dephen, 23, dari Sabah dilaporkan masih hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, berdasarkan maklumat diterima, semasa kejadian terdapat lapan orang menaiki kapal tersebut termasuk mangsa.

Bagaimanapun katanya, kapal yang membawa empat lori sawit itu tiba-tiba karam semasa tiba di lokasi kejadian.

“Tujuh individu lain berjaya terjun sungai menyelamatkan diri, manakala mangsa gagal berbuat demikian.

“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini. — DayakDaily