Kantoi selit dadah dalam bingkai pintu tandas

Ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dirampas oleh polis.

KUCHING, Jan 15: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah hotel bajet di Jalan Song Thian Cheok di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan susulan maklumat awam serta risikan polis yang dibuat sebelum serbuan tersebut dilakukan.


“Semasa pemeriksaan dilakukan, polis tidak menemui sebarang unsur jenayah sehingga anggota polis menjumpai satu peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.32 gram yang disembunyikan.

“Cubaan kedua-dua suspek menyembunyikan peket ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan menyelitkannya dalam bingkai pintu tandas bilik tersebut tidak berjaya apabila anggota polis menemui dadah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, anggota polis kemudian menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 29 dan 31 tahun itu.

Katanya, pasukan polis seterusnya membawa kedua-dua suspek ke balai polis untuk melakukan ujian air kencing.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily