Kanopi di Pasar Malam Metrocity Matang terjejas ditiup angin ribut

Kelihatan kanopi yang terjejas akibat diterbangkan angin kencang.
Advertisement

KUCHING, Julai 21: Para peniaga pasar malam berdepan detik-detik mencemaskan apabila kanopi gerai mereka tercabut dan diterbangkan oleh angin ribut dalam satu kejadian di Metrocity, Matang di sini petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.10 petang.

Advertisement

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat beberapa buah kanopi yang tercabut diterbangkan angin dan berselerak di atas jalan berkenaan.

“Anggota bomba hanya memantau keadaan bagi mengelakkan sebarang insiden kecemasan berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, terdapat banyak lagi kes serentak yang berlaku petang tadi.

Katanya, paling teruk kes di Hotel Kingwood di Kuching apabila pokok menimpa dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Proton Persona.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement