Kandungan telefon bimbit pedofilia bakal diketahui bulan depan

Kelihatan Aidi semasa bercakap dalam sidang media tersebut.
Advertisement

SERIAN, 21 Sept: Polis Sarawak menunggu laporan dari Jabatan Forensik Bukit Aman berhubung kandungan telefon bimbit milik seorang pedofilia, Alladin Lamin.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Forensik Bukit Aman untuk mempercepatkan laporan tersebut yang dijangka akan diterima pada bulan depan.

Katanya, sejurus laporan diterima, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement

Jelas beliau, pihaknya akan berusaha mendapatkan maklumat daripada kandungan telefon bimbit suspek dalam usaha untuk mengesan lagi mangsa lain.

“Setakat ini, seramai lima kanak-kanak telah tampil untuk membuat laporan polis.

“Kami cuba untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan mengenalpasti mangsa lain sekiranya kami dapat mengakses kandungan dalam telefon suspek,” katanya dalam satu sidang media di IPD Serian, hari ini.

Menurutnya juga, kanak-kanak yang menjadi mangsa suspek kebanyakan menetap di kawasan kejiranan suspek.

Alladin ditangkap pada 5 Julai dan berjaya dituduh dengan 18 pertuduhan serta dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun 6 bulan dan 15 sebatan pada 16 dan 17 Ogos.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara dan beberapa pertuduhan akan dicadangkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat ini. — DayakDaily

Advertisement