Kanak-kanak terjatuh dalam sungai, operasi SAR dijalankan

Pasukan bomba mencari mangsa yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai.

KOTA SAMARAHAN, Dis 16: Pasukan Bomba dan Penyelamat meneruskan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jeti Kampung Melayu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang hilang dikenali sebagai, Aifan Haraman, berusia enam tahun.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua itu dimulakan pada pukul 6 pagi di sekitar Sungai Samarahan di sini.


Pusat Kawalan Bomba di kawasan Jeti Kampung Melayu.

Menurutnya, kira-kira 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut.

“Selain bomba, pencarian mangsa juga turut disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan penduduk kampung.

“Setakat kini, kanak-kanak malang itu masih belum ditemui dan segala perkembangan akan dilaporkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, sebelum itu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.37 petang semalam. — DayakDaily