SONG, 10 April: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di bahagian telinga selepas tertusuk panah senapang ikan, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.30 malam.
Katanya, mangsa ketika itu sedang dirawat di Klinik Kesihatan Song.
“Sampai di bilik kecemasan Klinik Song, didapati seorang budak lelaki berusia 9 tahun tercucuk panah senapang ikan di bahagian telinga.
“Komander operasi membuat size up dan memotong panah besi tersebut menggunakan peralatan ‘bolt cutter’ sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Song kemudian berangkat balik ke balai selepas mendapati keadaan selamat dan terkawal. — DayakDaily