Nelayan asing cuba sogok Maritim Malaysia selepas ditangkap ceroboh perairan negara

Tangkapan dan rampasan dalam operasi tersebut.

BINTULU, 10 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menjalankan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 90 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 8 pagi, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hotspot’ di perairan Sarawak.

Katanya, semasa rondaan rutin, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat sekitar jam 9 malam Khamis (7 April) lepas.


“Berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot nelayan asing tersebut bertindak melarikan diri dari diperiksa oleh penguat kuasa.

“KM Setia mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas, sebelum berjaya menahan bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati enam kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berumur dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Empat kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya.

Selain itu, tekong juga bertindak menawarkan suapan kepada pihak berkuasa sejumlah wang RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot.

Kesemua kru, peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500,000, ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara.

Kes turut disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa.

Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Kita juga amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily