Kanak-kanak lelaki hilang, dikhuatiri lemas di Sungai Bidut, Sibu

Operasi SAR untuk kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di Pangkalan Feri Tanjung Maling, Sungai Bidut.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


SIBU, 18 Sept: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di Pangkalan Feri Tanjung Maling, Sungai Bidut, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.07 petang.

Katanya, anggotanya kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.


“Saksi yang merupakan jiran keluarga mangsa memberitahu mangsa disedari hilang dan dikhuatiri lemas apabila seorang rakan mangsa menyedari mangsa tidak timbul.

“Saksi terus bergegas ke lokasi dan memberitahu kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota Bomba yang hadir di lokasi kejadian terus mencari mangsa dengan kaedah ‘water surface’ dalam radius 100 meter di lokasi mangsa dikatakan tengelam.

Keadaan paras air sungai surut, namun arus deras menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Kanak-kanak lelaki tersebut masih tidak dijumpai sehingga jam 7.05 malam tadi.

Operasi SAR terpaksa ditangguh dan akan disambung semula esok. — DayakDaily