Kanak-kanak lelaki cemas terkunci dalam bilik

Kelihatan kanak-kanak yang selamat selepas terkunci di dalam bilik.

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 11: Seorang kanak-kanak lelaki berdepan dengan detik mencemaskan apabila terkunci di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Sungai Adong di sini.

Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu berlaku semasa kanak-kanak berusia 2 tahun enam bulan berkenaan sedang bermain di dalam bilik tersebut.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada datuk kanak-kanak terbabit pada pukul 4.22 petang.

Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati pintu bilik berkenaan telah berjaya dibuka oleh jiran keluarga tersebut.

“Anggota bomba kemudian bertindak memastikan keadaan kanak-kanak tersebut selamat sebelum bertolak balik ke balai,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, pihak bomba juga menasihatkan agar ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak supaya sentiasa mengawasi pergerakan mereka.

Katanya, langkah itu penting supaya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak. — DayakDaily