Ular sawa ‘gergasi’ ditangkap selepas cuba belit dan telan anjing

Pasukan bomba menunjukkan seekor ular sawa 'gergasi' yang berjaya ditangkap.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Dis 11: Pasukan bomba dan penyelamat berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira 6 meter di luar kawasan sebuah rumah di Jalan Kejatau di sini petang semalam.

Reptilia bersaiz ‘gergasi’ itu ditangkap sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman kira-kira pukul 3.50 petang.


Jurucakap BBP Sri Aman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia berkenaan kira-kira pukul 2.42 petang.

Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, ular sawa berkenaan sedang membelit seekor anjing peliharaan penduduk di situ.

“Sejurus itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menangkap reptilia tersebut.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang ular sawa bersaiz ‘gergasi’ sedang membelit seekor anjing,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, anggota bomba segera cuba menyelamatkan anjing berkenaan daripada cengkaman reptilia itu.

Katanya, ular sawa itu bagaimanapun tiba-tiba bertindak agresif sehingga menyukarkan anggota bomba melakukan operasi berkenaan.

“Selepas kira-kira sejam bertarung dengan ular sawa tersebut, pasukan bomba akhirnya berjaya menangkap reptilia tersebut,” katanya. — DayakDaily