SRI AMAN, 7 Jun: Seorang kalindan lori mengalami melecur di bahagian tangan selepas lori dinaiki tiba-tiba terbakar di Kilometer 19 Kampung Entawa, Jalan Engkelili-Sri Aman, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.05 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapat benar kebakaran melibatkan sebuah lori pikap, di mana kebakaran memusnahkan lebih kurang 80 peratus lori tersebut.
“Dimaklumkan kebakaran bermula dari bahagian enjin dan merebak serta membakar muatan tilam dan almari di belakang lori berkenaan manakala kalidan lori turut melecur sedikit di tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga api terkawal dan padam sepenuhnya.
Setelah keadaan didapati selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.46 petang. — DayakDaily