Kakitangan SEDC Sarawak menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf miskin, balu dan OKU di 11 kampung

Rakayah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah satu keluarga asnaf miskin di Kampung Tabuan Melayu pada 3 Mei 2021.

KUCHING, 5 Mei: Jawatankuasa Kakitangan Islam SEDC (Jakis) telah menyantuni golongan asnaf miskin, balu dan orang kelainan upaya (OKU) di 11 buah kampung sekitar bandaraya Kuching pada 3 hingga 5 Mei ini.

Ahli-ahli Jakis telah bergerak ke beberapa buah lokasi bagi menghantar bakul makanan dan sumbangan duit raya kepada 40 keluarga dari Kampung Tabuan Melayu, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Foochow, Kampung Samariang Batu, Kampung Rampangi, Kampung Matang Batu 9 dan Kampung Sejijak.

Program ini turut melibatkan beberapa keluarga asnaf miskin yang berada di Kampung Gita Laut, Kampung Pinang Jawa, Kampung Bintawa Hilir, Kampung Tupong Hulu dan Kampung Tupong Hilir.


Ahli-ahli Jakis yang bergerak telah diketuai oleh timbalan pengurus besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Rakayah Hamdan.

Rakayah berkata, menerusi program kebajikan tahunan ini, ianya mampu mengurangkan beban dan memberi keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Program yang diadakan hampir setiap tahun ini telah memberi manfaat kepada ramai golongan asnaf miskin, balu dan OKU sejak ia mula dilaksanakan beberapa tahun yang lalu.

“Tahun lalu kita tidak dapat melaksanakan program yang sama disebabkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun syukur Alhamdullilah kali ini ianya dapat dianjur dan berjalan dengan lancar,” tambahnya mengenai proses pengagihan sumbangan yang dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan.

Program tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan SEDC yang terlibat sekali gus merapatkan jurang hubungan antara agensi tersebut dengan golongan masyarakat yang memerlukan. — DayakDaily