Kaki sabung ayam lari masuk hutan dalam dua serbuan di Simunjan

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

By Juetila Ozzy

SIMUNJAN, 10 Jun: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan membuat serbuan di dua buah kampung di Sebuyau kerana menjalankan kegiatan menyabung ayam.

Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Nixon Joshua Ali berkata serbuan pertama dilakukan pada 2 Jun lepas dan berjaya menangkap empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50 hingga 76 tahun.

Jelasnya, serbuan sekitar jam 4.30 petang tersebut dilakukan di Kampung Jeragam, adalah hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan.

Keempat-empat suspek juga turut dikompaun kerana melanggar SOP PKP iaitu tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.


Sebanyak enam ekor ayam hidup, satu bangkai ayam dan satu unit alat penimbang turut dirampas dalam operasi tersebut.

Sementara kes kedua pula dilaporkan di Kampung Tuba iaitu sekitar jam 2.15 petang.

Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut kerana sekumpulan lelaki dikatakan telah melarikan diri ke dalam hutan sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Pasukan operasi hanya bertindak memusnahkan kawasan yang dijadikan gelanggang sabung ayam tersebut. — DayakDaily