Kajian Islam nusantara: Kembara Borneo ke Andalusia

Dr Jamil (empat dari kanan) bersama rombongan semasa lawatan ke Arkib Sejarah Negara Sepanyol di Madrid.

KUCHING, Dis 17: Rombongan pengkaji daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak mengadakan lawatan ke Sepanyol untuk mengkaji sejarah kedatangan dan perkembangan Islam di Borneo amnya dan di Sarawak khasnya.

Lawatan bermula dari Disember 6 hingga 18 ini diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Rombongan ini mengadakan lawatan ke Arkib Sejarah Negara Sepanyol (National Historical Archives of Spain) di Madrid, Institut Halal Sepanyol (The Halal Institute of Spain) di Cordoba, Universiti Granada di Granada dan Archivo de Indias di Seville.


“Lawatan Kajian Wali Songo ke Sepanyol ini merupakan kajian susulan untuk melihat serta mengkaji manuskrip asal, peta-peta lama dan salinan asal salasilah yang terdapat di muzium, arkib dan perpustakaan di Sepanyol.

“Matlamat utama adalah untuk mengesah serta mengukuhkan lagi bukti penemuan sedia ada terutamanya berkaitan dengan kedatangan dan perkembangan Islam di Borneo amnya dan di Sarawak khasnya,” menurut UiTM Sarawak menerusi satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk membincangkan jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Sarawak dengan Universiti Granada di Granada dan Institut Halal Sepanyol di Cordoba.

Dalam pada itu, lawatan ini juga dijangka akan melancarkan dua buah buku baru berjudul ‘Islam di Nusantara: Pemerintahan, Ekonomi dan Pendidikan’ dan ‘The History & Development of Wali Songo’.

Buku-buku tersebut merupakan hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan sebelum ini.

Pada Disember 12, lawatan kumpulan kajian telah melawat ke Arkib Sejarah Negara Sepanyol di Bandaraya Madrid dan berjaya memperolehi manuskrip, dokumen dan peta-peta lama berkaitan dengan Nusantara amnya dan Borneo khasnya.

“Kebanyakan manuskrip, dokumen, dan peta-peta lama tersebut berusia dari abad ke-8 hingga abad ke-19 Masihi.

“Manuskrip dan peta tersebut diperolehi hasil daripada peluasan kekuasaan oleh kerjasama antara Kerajaan Sepanyol dan Portugal di Nusantara.

“Penemuan ini membawa kepada nilai tambah kepada sejarah Borneo dan Sarawak selain daripada sumber British danBelanda,” menurut UiTM Sarawak.

Kajian merupakan cetusan idea daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan penyumbang dana kepada keseluruhan projek Kajian Islam Nusantara ini.

Turut menyertai robombongan ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Firdaus Abdullah, Sharifah Anom Omar, Dr Abdul Razak Abdul Kadir, Dr Saimi Bujang, Dr Hadenan Towpek dan Dr Mohd Syahiran Abdul Latif. — DayakDaily