Kadet Bomba ditemui mati lemas selepas dihanyutkan arus deras

Anggota bomba membawa mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Feb 26: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras di Sungai Kanowit di sini pada Ahad lepas ditemui mati hari ini.

Mangsa Carlos Paae, 15, yang merupakan pelajar dan Kadet Bomba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 8.10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung di Nanga Engkeriring pada jarak kira-kira 15 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di Rumah Panjang Tony.

Jelasnya, mayat remaja berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk proses pengecaman.


“Proses pengecaman itu telah dilakukan oleh ibu bapa mangsa dan mengesahkan mayat yang dijumpai adalah Carlos Paae,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras di Sungai Kanowit di sini.

Berdasarkan maklumat diterima, terdapat tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang perempuan sedang menaiki perahu pergi ke seberang untuk memetik buah rambai.

Bagaimanapun, perahu yang dinaiki tiga individu telah hanyut kerana mereka dikatakan tidak pandai berkayuh.

Mangsa dan seorang rakannya yang ternampak kejadian itu kemudian berenang untuk menyelamatkan mereka yang berada di perahu tersebut.

Namun, arus sungai yang deras telah mengakibatkan mangsa terus dibawa arus dan tenggelam, tetapi rakannya berjaya berenang ke tebing. — DayakDaily