Kadet Bomba dikhuatiri lemas selepas cuba bantu tiga orang selepas perahu yang dinaiki hanyut

Pasukan bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Feb 24: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras di Sungai Kanowit di sini hari ini.

Mangsa yang dilaporkan hilang itu dikenal pasti sebagai Carlos Paee, 15, dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit.


Difahamkan, mangsa merupakan pelajar kadet Bomba SMK Kanowit dan pernah mengikuti Pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru, baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang perempuan sedang menaiki perahu pergi ke seberang untuk memetik buah rambai.

Bagaimanapun katanya, perahu yang dinaiki tiga individu telah hanyut kerana mereka dikatakan tidak pandai berkayuh.

“Mangsa dan seorang rakannya yang ternampak kejadian itu kemudian berenang untuk menyelamatkan mereka yang berada di perahu tersebut.

“Namun, arus sungai yang deras telah mengakibatkan mangsa terus dibawa arus dan tenggelam, tetapi rakannya berjaya berenang ke tebing,” katanya di sini hari ini.

Arrahman menambah, tiga individu yang berada dalam perahu tersebut kemudian diselamatkan oleh orang kampung yang kebetulan balik dari hilir sungai.

“Maklumat lanjut akan menyusul dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily