Dua maut, sembilan cedera dalam nahas babitkan dua kenderaan

Keadaan kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Feb 24: Dua wanita maut, manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 19, Jalan Bintulu-Miri Lama di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 petang itu, identiti kedua-dua mangsa masih belum diketahui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 1.07 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.


“Apabila tiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dan 11 mangsa terlibat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan orang cedera dan dua orang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Keadaan kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Jurucakap sama menambah, semua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada pukul 3.24 petang,” katanya. — DayakDaily