Kadar tarif elektrik di Sarawak terendah di Malaysia

Julaihi (duduk tengah) bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022. Turut kelihatan adalah Timbalan Menteri Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang (duduk kiri) dan Timbalan Menteri Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (duduk kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Nov: Kadar tarif elektrik di Sarawak adalah yang terendah di Malaysia dan antara yang terendah di rantau ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurut beliau, kadar purata tarif elektrik yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah 40 sen per kilowatt-jam (kWj) dan 34 sen per kWj oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Advertisement

“Manakala kadar purata tarif elektrik yang dikenakan oleh Sarawak Energy ialah 28 sen per kilowatt-jam.

“Kadar ini merupakan penurunan berdasarkan kajian semula tarif elektrik pada tahun 2015,” kata Julaihi dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Di samping itu, tambah beliau, kerajaan Sarawak juga telah menyediakan beberapa insentif dan subsidi bagi membantu meringankan beban rakyat.

Antaranya termasuklah Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (Sares), Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), Connection Charges Government Financial Assistance (CCGFA) dan Additional Late Applicant Fund (Alaf).

Bagi menjawab pertanyaan Adun Ba’kelalan Baru Bian, Julaihi berkata gangguan bekalan elektrik baru-baru ini adalah berpunca daripada gangguan setempat.

Katanya, ia disebabkan oleh faktor luaran yang menyebabkan kerosakan kepada talian grid seperti tanah runtuh, banjir kilat dan gangguan sementara oleh hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan.

“Sebagai langkah penyelesaian segera untuk menangani isu tersebut, sebanyak dua buah genset mudah alih telah dibekalkan ke Lawas. Tiga buah lagi akan dibekalkan pada suku pertama tahun 2023.

“Langkah penyelesaian jangka masa panjang adalah penyambungan ke ‘State Grid’ di bawah ‘Northern Grid Extension’ yang dijangka siap pada tahun 2024,” ujar Julaihi. — DayakDaily

Advertisement