Kadar tarif air Sarawak kekal — Dr Rundi

Dato Sri Dr Stephen Rundi
Advertisement

KUCHING, 12 April: Kerajaan Sarawak tidak akan meningkatkan tarif air yang dikenakan buat masa ini.

Menurut Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, kerajaan negeri tidak akan mengikut negeri lain di Semenanjung yang sedang melihat untuk meningkatkan tarif yang dikenakan pihak berkuasa bekalan air mereka.

“Saya tahu di Semenanjung Malaysia, mereka mahu meningkatkan tarif air dan sebagainya, kami (Kementerian Utiliti) tidak melihat kepada perkara itu ketika ini,” katanya pada sidang media selepas penutupan Program Latihan Kerjasama Pasifik (PP19) di atas kapal USNS Fall River di Pelabuhan Kuching, di sini, semalam.

Advertisement

Sebaliknya, kementerian ketika ini lebih melihat untuk mengukuhkan infrastruktur bekalan air di Sarawak dengan mengaturkan operasi kesemua lembaga air dan pihak berkuasa bekalan air, tambah beliau.

 

Katanya, ini kerana pada ketika ini, Sarawak ada tiga lembaga air iaitu Lembaga Air Kawasan Utara, Lembaga Air Sibu dan Lembaga Air Kuching dan satu pihak berkuasa bekalan air iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang baharu diwujudkan.

“Kesemua mereka diwujudkan dalam masa yang berbeza terutama JBALB Sarawak, jadi kami belum mengaturkan operasi mereka supaya sehaluan seperti (lembaga air) yang lain,” Dr Rundi berkata.

Jelas beliau, selepas perkara terbabit dapat diselesaikan, kenaikan kadar tarif air tetap menjadi perkara terakhir yang akan dilihat pihaknya. — DayakDaily

Advertisement