Kadar kebolehpasaran graduan Unimas meningkat kepada 90.7 peratus

Mohamad Kadim (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada kakitangan Unimas di MAGU 2020.

KOTA SAMARAHAN, Mac 5: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya meningkatkan kebolehpasaran graduannya sehingga mencecah 90.7 peratus tahun ini.

Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi mengumumkan kebolehpasaran graduan universiti tahun ini juga tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah universiti awam itu.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan Unimas telah meningkat daripada 81 peratus pada tahun lepas kepada 90.7 peratus pada tahun ini, dan merupakan peratusan tertinggi dalam sejarah Unimas,” katanya sempena Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) 2020, di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Kampus Unimas, di sini hari ini.

Majlis tersebut juga dihadiri Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar dan menyaksikan seramai 154 kakitangan Unimas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 25 kakitangan menerima Anugeran Perkhidmatan Setia dan 21 orang kakitangan menerima sijil persaraan.

Mohamad Kadim berkata kejayaan lain Unimas tahun ini ialah berjaya berada dalam kelompok 11 universiti terbaik di Malaysia dan menjadi universiti terbaik di pulau Borneo.

“Antara kejayaan signifikan Unimas adalah dinobatkan antara 1,001 universiti terbaik dunia mengikut Times Higher Education, World University Ranking,” katanya.

Tambah beliau, Times Higher Education turut mengumumkan subjek kejuruteraan dan teknologi Unimas di kedudukan 801 serta subjek ekonomi dan perniagaan universiti itu di kedudukan 501 terbaik dunia.

Mohamad Kadim berkata Unimas turut berada pada kedudukan 301 terbaik dunia dalam Young World University Ranking dan 201 terbaik dunia University Impact Rankings. ā€” DayakDaily