Jurutera rugi RM29,000 setelah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara atas talian

File photo for illustration purpose only. Photo credit: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 19 Feb: Seorang jurutera dalam lingkungan umur 30-an di Sibu rugi RM29,314.40 setelah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara atas talian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, laporan polis telah diterima daripada mangsa dan kertas siasatan telah dibuka dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada 15 Februari 2024 mangsa telah melihat satu iklan di aplikasi TikTok yang menawarkan kerja sambilan.

Advertisement

“Mangsa terus menghubungi nombor yang tertera dalam iklan dan bertanya lanjut berkenaan kerja yang ditawarkan,” kata Zulkipli dalam satu kenyataan semalam.

Berminat dengan tawaran kerja tersebut, mangsa telah diarahkan oleh suspek yang memperkenalkan diri dengan nama Kathy untuk melakukan tugasan dan perlu selesaikan dalam tempoh 30 minit,”

Tambah Zulkipli, mangsa kemudiannya telah dimasukkan ke dalam group di aplikasi Telegram untuk menyelesaikan tugasan dan menjanjikan bayaran komisen sebanyak 15%-20%.

“Suspek telah mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran modal terlebih dahulu ke dalam akaun yang akan diberikan oleh suspek dan memaklumkan wang mangsa akan dipulangkan berserta komisen setelah tugasan selesai dibuat oleh mangsa.

“Pada 15 sehingga 17 Februari 2024 mangsa telah membuat pembayaran sebanyak 3 kali transaksi berjumlah RM 29,314.40 ke dalam 3 akaun yang berlainan.

“Setelah pembayaran dibuat mangsa telah menghubungi suspek untuk mendapatkan pembayaran semula wang modal dan komisen namun suspek memberikan pelbagai alasan,” katanya.

Ujar Zulkipli lagi, sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima komisen yang dijanjikan dan sedari telah tertipu. — DayakDaily

Advertisement