Jurutera mengingkari arahan wajib kuarantin ditahan

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Ogos: Dua jurutera dari Kuala Lumpur ditahan polis di Lapangan Terbang Miri pada petang Isnin (10 Ogos), selepas mengingkari arahan wajib kuarantin.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, kedua-dua lelaki berkenaan, berusia 42 dan 48 tahun telah ditahan dalam jam sekitar 2.14 petang Isnin.


“Kedua-dua suspek ini datang ke Miri adalah untuk menghadiri mesyuarat sebuah syarikat kejuruteraan di Mcld Piasau Industrial, pada pagi Isnin jam 10 dan telah bermalam di sebuah hotel di sini di kawasan Miri Waterfront sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Ahad sebaik tiba dari Kuala Lumpur (Ogos 9),” ujarnya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek tersebut telah tiba dari Kuala Lumpur ke Miri menggunakan penerbangan MH 2574 pada Ahad (9 Ogos) jam 2.40 petang.

“Mereka enggan dikuarantin di Miri sebaik tiba pada 9 Ogos (Ahad) tersebut, dan kedua-dua suspek tersebut telah mengelakkan diri tidak menaiki penerbangan balik dari Miri ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan AK 5645 jam 5.50 petang pada Ahad (hari yang sama), sebaliknya terus menginap ke hotel berkenaan tanpa mnghirau arahan pihak berkuasa,” jelas Lim.

Beliau berkata, kedua dua suspek akan dituduh setelah tamat tempoh kuarantin.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksasaan dan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.—DayakDaily