Jurutera hilang semasa daki Bukit Lesung ditemui selamat

Bukit Lesung
Bukit Lesung. Photo credit: Paul Sliong

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Jun 4: Seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan gas yang dilaporkan hilang di Bukit Lesung Lingga dekat sini sejak semalam ditemui selamat hari ini.

Mangsa, Gorge Tanyi War Prick, 33, ditemui oleh penduduk kampung kira-kira pukul 9.52 pagi.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa dijumpai selamat di kawasan kaki bukit yang terletak berhampiran Rumah Panjang Jemat, Menuang Ulu dekat sini.

Jelas beliau, semasa ditemui, mangsa kelihatan dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke rumah panjang tersebut.

Anggota pasukan SAR di Bukit Lesung.

“Pihak bomba bersama agensi lain masih dalam perjalanan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke semasa,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu kata Tiong, lelaki berkenaan bersama 18 orang penduduk Rumah Panjang Jemat Menuang Ulu, Lingga telah melakukan aktiviti mendaki di Bukit Lesung, dekat sini.

Katanya, aktiviti mendaki dilakukan seawal pukul 7.30 pagi dan telah dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Namun, ketika dalam perjalanan, mangsa mengadu sakit kaki dan tidak berupaya meneruskan pendakian untuk sampai ke puncak bukit dan bersetuju untuk ditinggalkan kumpulan pendaki untuk ke puncak bukit.

“Selesai pendakian kesemua peserta telah berjaya turun namun mangsa gagal dikesan di lokasi terakhir mahu pun di Rumah Panjang Jemat, Menuang Ulu,” katanya. — DayakDaily