Kemudahan asas akan terus dipertingkat dari masa ke semasa — Abang Johari

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING, Jun 4: Kerajaan negeri sentiasa prihatian dengan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan persisir negeri Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pelbagai agensi kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen padu bagi memastikan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan pengangkutan yang menjadi nadi hubungan bagi setiap rakyat dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Bekalan air bersih umpamanya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang giat meningkatkan prasarana kemudahan bekalan air di luar bandar dan diharapkan dengan usaha jangka panjang ini dapat mengurangkan bilangan kampung yang terjejas.


“Begitu juga dengan projek bekalan elektrik, jalan raya dan jambatan-jambatan yang menghubungi setiap ceruk negeri Sarawak, telah diluluskan dan sedang dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

“Hasrat kerajaan memastikan setiap anak Sarawak menikmati kemudahan asas dalam kehidupan mereka akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 yang akan disambut esok di seluruh negara.

Di samping itu, Abang Johari menegaskan yang pimpinan negeri Sarawak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk mengambil tanggungjawab terhadap permasalahan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan sumber kewangan sendiri bagi meneruskan projek-projek pembangunan sebagaimana yang telah dijanjikan.

Selaku Pengerusi GPS, Abang Johari juga komited untuk memberi kerjasama dan membina jalinan persefahaman dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan seluruh anak Sarawak.

“Saya dan seluruh pasukan, meletakkan visi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Kita yakin seluruh anak Sarawak juga ingin melihat dan menikmati kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian negeri sebagaimana yang kita impikan bersama,” katanya.

Beliau yakin melalui pendekatan Transformasi Sosio Ekonomi ke arah Ekonomi Digital, serta pelaksanaan 65 Inisiatif Demi Rakyat Sarawak, visi Sarawak menjadi Negeri Maju menjelang tahun 2030, akan tercapai.

Abang Johari dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching pada hari pertama dan kedua Aidilfitri daripada pukul 10 pagi hingga 4 petang. — DayakDaily