Oleh Dean Adam
PADAWAN, Nov 26: Seorang jururawat menjadi mangsa terbaharu kes penipuan ‘Macau scam’ di negeri ini selepas mengalami kerugian sebanyak RM6,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian yang menimpa wanita berusia 35 tahun itu dilaporkan berlaku pada November 23 lalu.
Bagaimanapun, laporan berhubung kes berkenaan hanya dibuat oleh mangsa semalam.
Menurut Mustafa, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan dan pesanan WhatsApp dari seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan Fazura menggunakan nombor 016-5639435.
Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa ada saman tertunggak yang perlu dibayar dan meminta mangsa segera membuat pembayaran tersebut sebelum diambil tindakan.
“Untuk pengesahan saman tersebut, panggilan mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai Sarjan Mark (01151289584).
“Suspek seterusnya memberitahu mangsa perlu segera membayar saman berjumlah RM6,000 untuk menyelesaikan kes itu,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, mangsa yang panik kemudian terperdaya memasukkan wang berjumlah RM6,000 ke dalam akaun Maybank suspek atas nama Nur Aeffariesha.
Katanya, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal.
“Suspek yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. — DayakDaily