Tiga sekeluarga nyaris maut, kereta dinaiki bertembung dengan Toyota Hilux

Kelihatan kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Oleh Dean Adam

BETONG, Nov 26: Tiga sekeluarga nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di Jalan Entanak di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu mengakibatkan pemandu serta dua penumpang kereta Proton Saga Aeroback mengalami kecederaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.55 petang.

Jelasnya, sepasukan 11 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati mangsa masih berada dalam kereta, namun dalam keadaan cedera.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sebelum diberikan rawatan awal,” katanya di sini hari ini.

Henry menambah, pemandu serta penumpang Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 4.09 petang,” ujarnya. — DayakDaily