Oleh Chris Bishop
KUCHING, April 18: Seramai 225 peserta menghadiri Seminar Pencegahan dan Pengawalan Jangkitan (IPC) 2019 di Pustaka Negeri, Kuching pada April 12 lepas.
Seminar selama dua hari bertemakan, “Breaking the Chain of Infection” itu dianjurkan Kuching Specialist Hospital (KPJ Kuching) dengan kerjasama Syarikat BD dan 3M.
Objektif seminar adalah untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan mengenai jangkitan dan pencegahan penyakit.
Selain itu, seminar ini juga dianjurkan bagi meningkatkan pemahaman terkini mengenai amalan berdasarkan kajian terbaharu mengenai penyakit berjangkit dalam industri penjagaan kesihatan.
Pengarah Perubatan KPJ Kuching Dr David Ling, dalam ucapannya menyatakan tumpuan komprehensif yang lebih kukuh perlu dalam amalan keselamatan terutamanya dalam industri penjagaan kesihatan.
“Sekiranya ini dilaksanakan, rantaian jangkitan seperti virus, bakteria dan kuman dapat dipecahkan atau dikurangkan daripada merebak,”katanya.
Seminar yang telah memasuki edisi keempat ini terbuka kepada jururawat yang bekerja di hospital kerajaan dan swasta di sekitar Kuching serta bandar-bandar berdekatan.
Sementara itu penceramah pertama, Dr Chua Hock Hin, dalam pembentangan bertajuk ” Healthcare Associated Infection: New Challenges” berkata kebanyakan negara-negara khususnya di Asia Tenggara tidak mempunyai sistem pengawasan untuk jangkitan penjagaan kesihatan yang berkaitan.
“Walaupun ada sistem ini, namun mereka masih juga berhadapan dengan kerumitan dan kekurangan kriteria standard untuk diagnosis,”Kata Dr Chua.
Beliau memberitahu, antara penyelesaian untuk mengurangkan jangkitan ini dalam industri penjagaan kesihatan termasuk memastikan komponen teras untuk kawalan jangkitan diamalkan di pelbagai peringkat.
Antara tajuk lain yang dikemukakan semasa seminar ini adalah termasuk “Empowering Nurses and Patients in Breaking the Chain of Infection” oleh Maygala Arumugam, “Peripheral Intravenous Catheter Guidelines” oleh Goveelaneswary Salya dan ‘Rabies Management” (Topik Khas) oleh Dr Nicholas Jenek. — DayakDaily