Jurumudi kren berteduh di gereja usang, sebelum berjaya diselamatkan

Mangsa sedang mendapatkan rawatan.

BINTULU, 22 Dis: Seorang jurumudi kren pasir yang dilaporkan hilang, terjatuh ke dalam sungai berdekatan Kem Kelebu Tatau pada 18 Disember lalu ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, 30 tahun, dijumpai pada jam 5 petang semalam selepas berjaya menyelamatkan dirinya.

“Mangsa dijumpai oleh orang awam semasa memohon bantuan di tepi jalan raya.

“Sebelum itu, mangsa dikatakan menyelamatkan diri dengan berteduh di sebuah gereja lama yang tidak lagi digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi hari ini.

Mangsa, William Kong Soon Tze yang sebelum ini dilaporkan hilang, dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai semasa dalam perjalanan balik dari mengambil pasir di Tanjung Pasir Rh Pandong menuju ke kem Kelebu Tatau.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas itu sebaik sahaja laporan dibuat oleh pihak mangsa. — DayakDaily