Jurulatih, atlet Sukma masih dibayar gaji hingga April

Dr Ong Kong Swee
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 31: Semua jurulatih dan atlet Sarawak yang terlibat dengan Sukma XX Johor masih dibayar gaji meskipun Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia telah memutuskan untuk menangguh temasya dwi-tahunan itu ekoran pandemik Covid-19.

Jaminan itu dinyatakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee yang menjelas jurulatih dan atlet terbabit akan menerima gaji hingga April ini sebelum pihaknya mengambil langkah seterusnya.

Advertisement

“Semua jurulatih dan atlet masih dibayar gaji sehingga penghujung April kerana mereka masih menjalani latihan walaupun Sukma ditangguh.

“Mereka mengikuti latihan di rumah dan semuanya ada program latihan sendiri disediakan oleh jurulatih masing-masing yang perlu diikuti.

“Jurulatih elit pula ditugaskan untuk memantau latihan secara atas talian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi memudahkan pemantauan latihan atlet semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua perisian iaitu Skype dan Zoom akan digunakan oleh setiap Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) MSNS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu menambah program latihan atlet semasa PKP lebih tertumpu kepada mengekalkan kekuatan, suaian fizikal dan pemulihan bagi mereka yang masih cedera di mana ianya akan dipantau secara rapi.

Dalam pada itu, MSNS katanya juga sedang dalam proses menilai prestasi semasa semua jurulatih elit.

“Kita sedang menilai prestasi jurulatih elit kerana kita ada kad, profil dan laporan prestasi mereka.

“Jika mereka gagal mencapai prestasi yang kita mahukan, mereka akan diganti dan ianya akan dilakukan pada penghujung April,” tegas Ong.

Mengenai tarikh baru Sukma, Ong yakin temasya itu akan dianjurkan pada tahun depan berbanding bulan Disember seperti yang dicadangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, situasi tidak menentu wabak Covid-19 mungkin masih berisiko kepada atlet dan pegawai sukan jika Sukma dianjurkan pada penghujung tahun ini. — DayakDaily

Advertisement