Tambahan RM20 juta melalui SKMS bantu usahawan PKS — Awang Tengah

Awang Tengah (tiga dari kiri) pada sidang media di Kuching hari ini (Mac 31, 2020).

KUCHING, Mac 31: Peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) melalui Pakej Khas Sarawakku Sayang adalah untuk kebaikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia untuk meringankan beban dan memudahkan usahawan yang terkesan daripada situasi penularan wabak Covid-19 pada masa ini.

“Objektif utama SKMS ini adalah untuk menyediakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan mudah kepada usahawan-usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.


“Terdahulu, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan skim ini.

“Namun, atas keprihatinan kerajaan Sarawak, Ketua Menteri telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian pada sidang media SKMS di Kuching hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, SKMS terbahagi kepada dua, iaitu SKMS I dan SKMS II.

Dibawah SKMS 1 katanya, ia menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM1,000 hingga RM10,000 dengan tanpa kadar faedah atau kadar keuntungan kepada usahawan B40.

Manakala SKMS II pula menyediakan pinjaman atau pembiayaan dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah atau kadar keuntungan sebanyak 4 peratus.

Katanya lagi, langkah kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik selama enam bulan bagi peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) bakal memberi manfaat kepada seramai 144 peminjam .

Borang permohonan SKMS boleh dimuat turun di laman sesawang kementerian, SEDC dan Agrobank atau orang ramai boleh menghubungi agensi-agensi tersebut. — DayakDaily