Jurujual kanan maut, van dipandu terlibat dalam kemalangan

Keadaan kemalangan yang melibatkan sebuah van di Jalan Tun Jugah tengah malam tadi.
Advertisement

KUCHING, Jan 27: Seorang jurujual kanan maut selepas van komersial yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan di Jalan Tun Jugah di sini tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mengakibatkan mangsa, Tsong Boon Fui, 40, dari Taman Pearl di sini disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, ketika nahas, mangsa yang memandu van Nissan itu seorang diri difahamkan sedang menuju ke Jalan Pending dari arah Jalan Tugah.

Advertisement

Menurut beliau, semasa tiba di lokasi kejadian, van yang dipandu lelaki malang itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di situ.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal polis mendapati kemalangan tersebut tidak membabitkan kenderaan lain.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement