KUCHING, 27 Jun: Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah memberikan rumah kediaman sementara kepada keluarga juruhebah radio bahasa Iban, Ivy Ubang, 51, yang kehilangan rumah akibat kebakaran baharu-baharu ini.
Surat tawaran bagi mendiami sementara rumah HDC terbabit telah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad sambil disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa Fasa 1, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 12 Jun lepas sebanyak tiga rumah teres dua tingkat di RPR Batu Kawa Fasa 1 termasuk dimiliki juruhebah terbabit telah musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar sehingga 65 peratus.
Rumah itu diwarisi Ivy dari mendiang bapanya, Pegawai Waran (B) Ubang Kendawang yang pernah bertugas dalam pasukan Rejimen Renjer Diraja tentera darat dan pernah menentang komunis serta berjuang ketika konfrontasi.
“Rumah bagi didiami kami sementara ditawar HDC terbabit terletak di Taman Dahlia, Batu 5, Jalan Matang, di sini. Sewanya hanya RM150 sebulan,” katanya ketika dihubungi DayakDaily hari ini.
Sehubungan itu, beliau amat gembira menerima bantuan kerajaan Sarawak terbabit kerana ketika ini keluarganya terpaksa menumpang di rumah adiknya di Taman Genesis, Batu Kawa.
“Saya dan keluarga selepas ini akan berpindah ke Taman Dahlia secepat yang mungkin dan akan tinggal di sana sehingga siap membina kembali rumah kami yang telah musnah terbakar terbabit,” katanya.
Ivy juga memaklumkan keluarganya boleh memohon menetap di rumah kediaman sementara itu melebihi tempohnya selama dua tahun dari HDC sehingga rumah RPR di Batu Kawa terbabit dapat siap dibina mereka semula.-DayakDaily