Juruhebah radio bahasa Iban terima sumbangan

Ivy (dua dari kiri) menerima sumbangan peti sejuk disumbangkan Melissa ((kanan) hari ini.

KUCHING, 22 Jun: Juruhebah radio bahasa Iban terkemuka, Ivy Ubang, 51, yang baharu kehilangan rumah akibat kebakaran telah menerima sumbangan peti sejuk dari rakan artis dan pemilik premis hiburan pada petang hari ini.

Sumbangan itu disampaikan artis Iban, Melissa Francis yang juga pemilik Celebrity Bistro di Kota Samarahan  bersama wakil Barrock di Tabuan Jaya di sini kepada juruhebah terbabit di rumah kakaknya di Taman Genesis di Batu Kawa.

Ivy berkata beliau merasa amat terharu setelah menerima sumbangan peti ais terbabit kerana rakan artis Iban yang mengenalinya telah turut tampil membantu.

“Selain itu,  semua barangan elektrik atau perabot dalam rumah saya telah musnah dalam kejadian kebakaran itu pada 12 Jun lepas,” katanya yang ketika ini bertugas di satu stesen radio terkemuka tempatan.

Beliau berkata seramai 11 ahli keluarganya  mendiami rumah terbabit sejak 1982 dan ketika ini mereka terpaksa menumpang tidur di rumah kakaknya.

Dalam kejadian 12 Jun lepas sebanyak tiga rumah teres dua tingkat di RPR Batu Kawa Fasa 1, termasuk yang dimiliki Ivy, telah musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah terbakar sehingga 65 peratus.

Ivy sehubungan itu berterima kasih kepada banyak pihak samada persatuan, syarikat,  individu, menteri, agensi kerajaan, artis dan sebagainya yang telah tampil membantunya.-DayakDaily