Jumlah remaja hamil bagi tahun 2021 di Sarawak menurun

Fatimah (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (11 April 2022).

KUCHING, 11 April: Jumlah kes remaja hamil dalam Sarawak pada tahun 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 22.6 peratus atau 470 kes dibandingkan dengan 2020.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, tahun 2020 merekodkan sebanyak 2,099 kes manakala 2021 sebanyak 1,623 kes.

Katanya, ia adalah berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan rekod 2021 menunjukkan sebanyak 6.7 peratus (109 kes) adalah remaja berumur di bawah 16 tahun.


Manakala 93.3 peratus (1,514 kes) melibatkan remaja berumur 16 tahun dan ke atas.

ā€œDaripada jumlah keseluruhan 2021 itu, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi iaitu 13.2 peratus.

ā€œIni diikuti Bahagian Sri Aman dengan 9.8 peratus, Bahagian Sarikei dengan 9.1 peratus, Bahagian Bintulu sebanyak 7.1 peratus dan Bahagian Sibu dengan 7.0 peratus,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Sementara itu, setakat Mac 2022, tambah Fatimah, sebanyak 332 kes remaja hamil telah direkodkan.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, peratusan kehamilan remaja daripada jumlah kes baharu antenatal pula adalah sebanyak 4.1 peratus.

ā€œSebanyak 6 peratus atau 20 kes adalah melibatkan remaja berumur di bawah 16 tahun manakala 94 peratus atau 312 kes berumur 16 tahun dan ke atas.

ā€œDaripada jumlah itu, 94 peratus atau 311 kes melibatkan remaja tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil dan 57 peratus (189 kes) tidak berkahwin semasa mereka hamil,ā€ katanya.

Mengulas lanjut, Fatimah memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2021 sebanyak 360 kes berkaitan pelbagai isu yang dihadapi oleh remaja hamil di peringkat OSTPC Bahagian di Sarawak.

Daripada jumlah kes tersebut katanya, sebanyak 62 peratus (223 kes) dapat diselesaikan.

ā€œKes-kes yang terlibat merangkumi isu-isu berkaitan seperti kebajikan, perundangan, dokumen pengenalan diri, persekolahan, perlindungan dan sokongan, dan kesihatan ibu remaja dan anak yang dilahirkan mereka,ā€ katanya. ā€” DayakDaily