Jumlah Kes Sembuh Covid-19 terus atasi kes jangkitan baru hari ini

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 19 Feb: Jumlah kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 pada hari ini terus merekodkan angka melebihi jumlah kes positif baharu dengan 4,889 kes sembuh dilaporkan.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kes sembuh daripada jangkitan berkenaan terus meningkat kepada 239,971 sehingga hari ini (19 Feb) atau 86.4 peratus daripada keselurahan kes yang dilaporkan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes jangkitan baharu kekal di bawah aras 3,000 jangkitan angka dengan 2,936 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak berkenaan berada pada angka 277,811 kes.


“Daripada jumlah tersebut, 17 kes merupakan kes import yang dikesan mendapat jangkitan diluar negara manakala 2,919 kes lagi merupakan kes jangkitan tempatan.

” Sehingga kini, sebanyak 36,797 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dikesan bersamaan 13.24 peratus bdaripada keseluruhan kes yang dilaporkan,” katanya ketika memuat naik statistik berkenaan di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 12 tengahari tadi, 13 kes kematian berkaitan jangkitan wabak berkenaan dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini terus meningkat kepada angka1,043 kes sehingga kini

“Pada hari ini seramai 220 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 104 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor terus kekal merekodkan kes positif tertinggi jangkitan berkenaan dengan 978 kes atau 33.3 peratus daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 722 kes (73.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang sedang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 730 kes (24.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 227 kes (7.7 peratus).

“Sebanyak 112 kes (3.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (64 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (17 kes), Kluster Tembok Bendera (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (6 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), Kluster DTI Sepang 2 (1 kes), dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes),” jelas beliau. -DayakDaily