Jumlah kes sembuh Covid-19 atasi kes positif baharu hari ini, 13 kematian dilaporkan

Jumlah kes sembuh Covid-19 atasi kes positif baharu hari ini

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 11 Feb: Sebanyak 3,774 kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini mengatasi jumlah kes positif baharu jangkitan wabak berkenaan hari ini.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kes sembuh meningkat kepada 202,269kes sehingga hari ini (11 Feb).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 3,384 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak berkenaan berada pada angka 254,988 kes.

“Daripada jumlah tersebut, 15 kes dikesan mendapat jangkitan di luar negara manakala 3,369 kes lagi merupakan kes jangkitan tempatan.

“Sehingga kini, sebanyak 51,783 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dikesan bersamaan 20.3 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata setakat jam 12 tengahari tadi sebanyak 13 kematian berkaitan jangkitan wabak berkenaan dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian direkodkan di negara ini menghampiri angka 1,000 dengan 936 kes sehingga kini.

Katanya, sehingga kini seramai 259 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 122 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Pada hari ini juga, Selangor kekal merekodkan jumlah kes postif tertinggi dengan 1,082 kes diikuti johor ( 777 kes) Kuala lumpur (435 kes), Kedah (228 kes), Sarawak (184 kes), Pulau pinang (144 kes) Sabah (142 kes) dan Melaka (101 kes).

“Hanya Perlis dan Putrajaya mencatatkan angka satu digit kes positif Covid-19 hari ini dengan empat dan tujuh kes manakala negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Labuan dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan dua digit kes positif,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata sebanyak 17 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 13 kluster daripadanya melibatkan kluster tempat kerja manakal 2 kluster merupakan kluster komuniti dan satu lagi kluster adalah kluster pusat tahanan.

Kesemua kluster terbabit katanya telah merekodkan sejumlah 687 kes positif baharu Covid-19 pada hari ini. — DayakDaily