Jualan tiket nombor ekor Sports Toto jatuh 10 peratus akibat jualan tiket haram

Nerine (lima dari kiri) memotong riben sebagai simbolik merasmikan cawangan kedai baru Sports Toto di pekan Siburan.

KUCHING, Mac 11: Sports Toto Malaysia Sdn Bhd (Sports Toto) sejak empat tahun lepas telah mengalami penurunan jualan tiket nombor ekornya sebanyak 10 peratus di negeri ini akibat persaingan sengit dengan kegiatan penjualan tiket nombor ekor haram.

Pengurus besar (operasi jualan) Sports Toto, Nerine Tan berkata demikian dan menambah Sarawak ketika ini menjadi negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi jualan tiket nombor ekor syarikat tersebut akibat kegiatan haram itu.

“Malahan ada cawangan kedai syarikat kami di negeri ini telah mengalami penurunan jualan tiket nombor ekor sehingga 40 peratus bagi tempoh tiga tahun yang lepas akibat persaingan sengit dengan kegiatan penjualan nombor ekor haram yang berleluasa,” katanya selepas merasmikan cawangan kedai baharu Sports Toto di pekan Siburan, di sini, hari ini.


Juga menghadiri majlis berkenaan ialah pegawai dan eksekutif dari Sports Toto termasuk pembantu pengurus besar (jualan operasi) Lee Suan Boon, eksekutif jualan kawasan kanan (Kuching) Helen Tan Puay Cheng, pembantu pengurus (Malaysia Timur) Renee Wong, pengurus kanan (jualan dan pentadbiran) R. Jagadis Kumar, pembantu pengurus besar (jualan dan pemasaran) Eddie Lim, pembantu pengurus (operasi jualan) Michael Chee Hock Howe dan pegawai jualan kawasan Aveline Chin.

Nerine berkata syarikat terbabit bagaimanapun akan meneruskan operasi kesemua 40 cawangan kedainya di seluruh negeri ini dan berharap penduduk tempatan memberi sokongan kepada syarikat tersebut dengan tidak membeli nombor ekor haram.

“Kami mahu orang ramai di negeri ini menyedari banyak keburukan sekiranya mereka membeli tiket nombor ekor haram. Ini terutamanya kerugian dari segi kutipan cukai, kerana penjual tiket nombor ekor haram tidak ada membayar cukai kepada kerajaan seperti syarikat kami,” katanya.

Beliau mendedahkan yang Sports Toto dikenakan cukai sebanyak 10 peratus bagi setiap tiket nombor ekor yang dijualnya di negeri ini manakala cukai itu sebanyak 15 peratus di Sabah.

Katanya syarikat terbabit yang keseluruhannya ada 680 cawangan kedai di negara ini setiap tahun menyerahkan kutipan cukai itu yang mencecah jutaan ringgit kepada kerajaan dan seterusnya digunakan bagi membina hospital, jalan raya dan sebagainya.

“Disamping itu, orang ramai yang membeli tiket nombor ekor haram di negeri ini juga dikhuatiri akan menyokong penjenayah yang berkemungkinan menjadi dalang kegiatan haram terbabit,” katanya.

Menurutnya, orang ramai sebaliknya menyokong jaguh sukan negara ini sekiranya membeli tiket nombor ekor dari Sports Toto kerana syraikat itu selama ini menaja jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei bagi acara badminton dan Pandalela Rinong bagi acara terjun kolam renang.

“Syarikat kami juga kerap menaja acara sukan dan memberikan sumbangan kebajikan kepada golongan memerlukan di negeri ini serta menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial koperat lain dan ini akan bergantung kepada hasil jualan tiket nombor ekor cawangan kedai kami,” katanya.

Selain itu, beliau meminta penduduk negeri ini tidak terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu yang tindakan membeli tiket nombor ekor haram boleh menjadi cara bagi orang ramai menunjukkan mereka membenci kerajaan kerana dakwaan terbabit mungkin helah bagi memperdayakan mereka. — DayakDaily