Warga emas melecur pada badan, rumah didiaminya dijilat api

Keadaan api yang marak membakar sebuah rumah di Kampung Patok, Dalat.

DALAT, Mac 11: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia melecur pada bahagian badannya selepas sebuah rumah di Kampung Patok di sini musnah terbakar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, rumah yang didiami mangsa terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.33 petang.


Menurutnya, sejurus menerima laporan itu sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.

“Apabila tiba di kampung berkenaan, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah itu.

“Api pantas membakar kediaman berkenaan kerana ia diperbuat daripada papan serta bahan mudah terbakar yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan lanjut mendapati warga emas itu berada di luar kediamannya dalam keadaan melecur.

Katanya, mangsa sempat keluar melarikan diri, namun pelbagai dokumen serta barangan lain gagal diselamatkan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dalat untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily