KUCHING, 9 Feb: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) telah melaksanakan Task Force Program Saringan Kesihatan Covid-19 (TF-PSKC19) sebagai satu langkah membendung penularan wabak tersebut dalam kalangan pekerja asing di negeri ini bermula 15 Januari 2021.
Menurut pengarahnya Awang Raduan Awang Omar, ia dilaksanakan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (DOSH).
“Kerajaan telah memutuskan bahawa majikan yang menggajikan pekerja asing hendaklah memastikan pekerja asing yang digaji untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan penilaian risiko jangkitan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang mendapati risiko jangkitan dalam kalangan pekerja asing yang lebih tinggi berbanding pekerja tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari Ini.
Tambah Awang Raduan, program saringan pekerja asing ini selari dengan kehendak Seksyen 10 di dalam Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020.
Seiring dengan usaha itu katanya, JTK Sarawak, Perkeso dan JKKP negeri telah menubuhkan task force PSKC-19 yang terdiri daripada 30 orang pegawai.
“Mereka akan melaksanakan pengesanan ke atas majikan yang menggaji pekerja asing di sekitar Kuching, Kota Samarahan, Lundu dan Sematan.
“Task-Force PSKC19 turut ditubuhkan di seluruh bahagian di negeri Sarawak agar pengesanan dilaksanakan secara menyeluruh,” ujar beliau.
Sehingga 9 Februari 2021, sejumlah 1,175 majikan telah dikesan dan melibatkan sejumlah 12,208 pekerja asing dikesan di sekitar kawasan Kuching, Kota Samarahan, Lundu dan Sematan.
Daripada jumlah tersebut, didapati 10,995 pekerja asing belum disaring.
Jelas Awang Raduan lagi, notis pelaksanaan program saringan kesihatan Covid-19 telah diserahkan kepada majikan.
“Setiap majikan yang menggaji pekerja asing adalah diwajibkan untuk membuat saringan kesihatan Covid-19 dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
“Ujian saringan ini boleh dilaksanakan di klinik atau hospital swasta terpilih dengan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh KKM,” katanya.
Ujian ini akan dibiayai oleh Perkeso dan majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.
Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.
Dalam pada itu, Awang Raduan berkata penginapan untuk pekerja asing terutamanya di kawasan perladangan dan perkilangan turut diperiksa.
Tujuan pemeriksaan adalah untuk memastikan penginapan pekerja mencapai standard minimum penginapan yang ditetapkan di bawah Akta 446. — DayakDaily