JSJN Sarawak cekup tiga penganggur disyaki miliki dadah

Kelihatan dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 18: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya memberkas dua lelaki dan seorang wanita selepas disyaki memiliki dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Tabuan Jaya Baru Phase 1, di sini malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam itu, pasukan serbuan JSJN Sarawak telah menahan ketiga-tiga penganggur yang berusia 27 hingga 34 tahun.


Ketua JSJN Sarawak, SUPT Sahar Abdul Latif berkata, kejayaan itu merupakan hasil maklumat dan risikan yang dilakukan sebelum itu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan badan dan di rumah yang dijalankan oleh pasukan serbuan tidak menemui apa-apa bahan disyaki dadah.

“Namun, hasil soal siasat, pada pukul 8.30 malam, seorang suspek telah pandu arah pasukan serbuan ke sebuah rumah di Jalan Haji Kassan, Kampung No. 4.

“Setibanya di rumah tersebut, suspek telah mengambil satu beg kertas bertulis ‘SASA’ yang disembunyikan di atas siling bahagian dapur rumah,” katanya di sini hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui satu beg plastik lutsinar berisi dua ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja yang dibaluti oleh plastik lutsinar.

Katanya, anggaran kasar dadah yang dirampas itu ialah seberat 406.40 gram dan dianggarkan bernilai RM6,900.

“Hasil ujian saringan awal air kencing, mendapati seorang suspek lelaki positif dadah methamphetamine, manakala dua lagi suspek negatif dadah.

“Seorang suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, manakala dua lagi dibebaskan dengan tanpa syarat. — DayakDaily